Printer
Friendly Copy Download
This Document Translate
into English
Sejarah Pengakap Sarawak
Sejarah Pengakap di Sarawak bermula
pada tahun 1915 apabila Pengetua Sekolah Hockien Free (sekarang
tapak Sekolah Rendah Chung Hua Kuching No.1), Mr. Cox, menubuhkan
Kumpulan Pengakap yang pertama dengan melatih beberapa orang
muridnya di dalam ilmu Pengakapan. Pada masa yang sama Mr. Currey
dari S.P.G. Mission Kuching juga menubuhkan pasukannya di sekolah
St. Thomas.
Cara pengelolaan Pergerakan pada masa itu juga berbeza dengan yang
ada sekarang, tambahan pula Pergerakan merupakan pertubuhan bebas
dan belum dikenali sepenuhnya. Segala latihan yang diadakan itu
mengikut kepandaian dan pengalaman pemimpin itu sendiri berdasarkan
buku yang dibawa dari England, tempat asal Pengakap. Walaupun pada
mulanya jumlah Pengakap agak kecil, namun Pergerakan berjaya
melangkah ke hadapan setahun demi setahun. Pada tahun 1940 Persatuan
Pengakap Sarawak telah menjadi ahli cawagan Ibu Pejabat Pengakap
Great Britain. Secara langsung Persatuan Pengakap di negeri ini
mempunyai tempat untuk mendapatkan sumbangan and kemudahan yang
perlu. Beberapa langkah bagi mendedahkan ilmu Pengakapan
dilaksanakan termasuk Perkhemahan Ketua Patrol Pertama diadakan di
Santubong pada tahun 1950. Pergerakan Pengakap di Sarawak berkembang
dalam abad 50-an dan 60-an bila kerajaan kolonial memberi perhatian
sepenuhnya terhadap Pergerakan sebagai satu daripada institusi
latihan
kanak-kanak.
Bagi menyediakan Pemimpin untuk melatih Pengakap. Kursus Manikayu
Pertama telah diadakan di Santubong, Kuching pada 9-17 Ogos 1958.
Pada awalnya cuma kanak-kanak dari sekitar bandar Kuching yang
belajar di sekolah yang tertentu sahaja yang menjadi ahli Pengakap.
Selepas tahun 50-an usaha mengembangkan Pergerakan telah dilancarkan
dan bandar Miri memulakan Pergerakan Pengakap dalam tahun 1952,
diikuti oleh bandar Sibu dua tahun kemudian. Gabenor British di
Sarawak pada masa itu telah melantik Mr. R.H. Hickling sebagai Ketua
Pesuruhjaya yang pertama. Sejak itu, perkembangan Pergerakan
Pengakap mula dirasai dan pihak kerajaan kemudian telah melahirkan
minat di dalam persekutuan ini dan berusaha meluaskannya ke seluruh
negeri dengan bantuan Jabatan Pelajaran.
Kemudian Mr. G.W. Stevents yang didatangkan dari England dilantik
sebagai Pesuruhjaya
Pengelola untuk Sarawak, Sabah dan Brunei. Beliau ditempatkan di
Jabatan Pelajaran Kuching. Perkhemahan Pengakap Berpatrol Sarawak
yang pertama diadakan pada tahun 1962 di Sibu untuk mengumpulkan
Pengakap dari seluruh negeri di samping memberi mereka kesempatan
bergaul dan bertukar-tukar fikiran dalam hal Pengakapan. Dengan
wujudnya Malaysia pada tahun 1963, Persatuan Pengakap Sarawak
menarik diri sebagai cawagan Ibu Pejabat Pengakap Great Britain dan
terus menjadi cawagan kepada Persekutuan Pengakap Malaysia. Dari
dahulu hingga sekarang, Pergerakan Pengakap Sarawak telah secara
langsung membimbing beribu-ribu ahlinya dalam ilmu Pengakapan dan
setengahnya telah menjadi pemimpin dalam pelbagai bidang.
Sarawak telah menjadi tuan rumah Jambori Malaysia ke-4 pada tahun
1978, dan pada tahun
1984 Pengakap Sarawak mencatat sejarah apabila Sulaiman bin Haji
Daud dilantk sebagai Ketua Pengakap Negara. Pergerakan Pengakap
negeri Sarawak telah menyambut Ulang Tahun ke-80 pada 1995 ini dan
pelbagai acara telah diadakan. Pengakap negeri Sarawak mempunyai
25,000 orang ahli Pengakap dari 600 kumpulan seluruh negeri,
termasuk tiga kumpulan KLM (MPBL, MPR dan MPS) dan tujuh Kumpulan
Kelana.
|